Bagaimana Riau Dibawah Johor Diserahkan Kepada Belanda

Pada tarikh 7 Februari 1787, Sultan Mahmud Shah III (Sultan Johor ke 5 dari Wangsa Bendahara Johor) pada waktu itu memerintah kerajaan Johor, Riau, Lingga dan Pahang yang telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Belanda di Melaka.

Perjanjian yang berlaku ini adalah perjanjian kali yang kedua yang dibuat setelah Riau dikalahkan oleh Belanda dalam satu peperangan yang berlaku dalam tahun 1784.

Dengan perjanjian ini, pihak Syarikat Hindia Timur Belanda telah dapat monopoli perdagangan di Riau dan secara tidak langsung mereka dapat mengambil alih seluruh pentadbiran Riau.

Peperangan yang berlaku di Riau adalah berpunca daripada permusuhan diantara orang-orang Bugis yang diketuai oleh Yamtuan Muda Riau, Raja Haji dengan pihak Belanda di Melaka.

Raja Haji mula memusuhi Belanda apabila Gabenor Belanda di Melaka enggan memberi sebahagian daripada hasil penjualan candu yang dirampas dari sebuah kapal Inggeris yang berlabuh di Pulau Bayan di kawasan perairan Riau.

Sejak itulah bermulalah penentangan Raja Haji terhadap Belanda dengan jelas sehingga tercetusnya peperangan dalam tahun 1784 yang menyebabkan Raja Haji terbunuh.

Pengganti kepada Raja Haji juga tidak berhasrat untuk buat sebarang pendamaian dengan pihak Belanda. Akhirnya Riau sekali lagi diserang dalam bulan November 1784 sehingga Riau terpaksa menandatangani perjanjian dengan pihak Belanda.

Setelah itu, Belanda telah meletakkan Residen mereka di Riau dan orang-orang Belanda mula mendirikan kota di Tanjung Pinang. Sultan Mahmud Shah III (Sultan Johor ke 5 dari Wangsa Bendahara Johor) kemudiam telah melawat Melaka pada tarikh 7 Februari 1787 untuk menandatangani satu perjanjian dengan Belanda.

Bagaimana Riau Dibawah Johor Diserahkan Kepada Belanda

Isi kandungan penting perjanjian tersebut adalah seperti maklumat yang tertera di bawah:

  • Sultan Mahmud Shah III hendaklah menyerahkan segala urusan pentadbiran di Riau kepada Kompeni Belanda.
  • Orang-orang asing yang telah dijatuhkan hukuman salah kerana melakukan kesalahan besar hendaklah dihantar ke Melaka. Hanya perkelahian antara orang-orang Melayu, Bugis serta rakyat baginda sahaja yang boleh diselesaikan dengan keputusan perintah Sultan.
  • Pemerintah di negeri Pahang hendaklah mengakui bahawa tongkang-tongkang Cina atau lain-lain tongkang tidak dibenarkan masuk ke Pahang dan pemerintah Pahang hendaklah menyerahkan tongkang-tongkang itu datang ke tempat membayar cukai di Riau.

Dengan termeterainya perjanjian antara Riau dengan Belanda ini telah menyebabkan kekuasaan Riau diambil alih oleh Belanda dan perniagaan di Riau semakin hari semakin merosot kerana pedagang Melayu mula boikot dan beralih arah ke lokasi lain.

Rujukan:

  • Sejarah Johor, Buyong Adil, hal. 144

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

19 + = 21