Khazanah Empayar Melaka Yang Tenggelam Di Lautan

Kapal Flor de la Mar adalah sebuah kapal yang karam di Selat Melaka dan khabarnya ia sarat dengan harta yang telah dicuri dari Kesultanan Melayu Melaka yang punyai nilai berbilion-bilion ringgit hari ini. Misteri kehilangan kapal tersebut masih tidak dapat dirungkaikan sehingga ke hari ini.

Misteri kehilangan kapal Flor de la Mar masih menjadi tanda tanya kerana sehingga kini bangkai kapal tersebut tidak dapat ditemui. Flor De La Mar membawa maksud “Bunga Di Lautan” terkandas di Selat Melaka.

Menurut beberapa catatan sejarah, kapal ini mengangkut harta karun sebanyak kira-kira 60 ton emas hasil rampasan dari Kerajaan Melaka. Kapal Portugis seberat 400 tan ini juga dirujuk sebagai salah satu daripada kapal perang yang telah dihantar untuk menawan kerajaan Melaka pada tahun 1511.

Kapal ini telah dibina di Lisbon pada tahun 1502 dan pada waktu tersebut Flor De La Mar adalah merupakan kapal yang paling besar dan cantik dalam angkatan laut Portugis.

Kapal ini telah memulakan pelayaran yang pertamanya ke India pada tahun 1502 di bawah arahan Estêvão da Gama. Pada tahun berikutnya pula kapal ini telah pulang ke Portugis dengan membawa bekalan rempah dari India.

Flor de la Mar bukan sahaja digunakan untuk tujuan perdagangan, malah ia juga turut digunakan untuk berperang pada tahun-tahun berikutnya. Contohnya pada tahun 1507, ia telah mengambil bahagian dalam aktiviti penaklukan Portugis di Ormuz.

Khazanah Empayar Melaka Yang Tenggelam Di Lautan

Pada tahun yang berikutnya, kapal itu telah mengambil bahagian dalam pertempuran Diu di India dan turut hadir dalam penaklukan Portugis ke atas Goa pada tahun 1510.

Dan akhirnya pada tahun 1511, Portugis menetapkan tumpuan mereka kepada Kesultanan Melaka yang pada ketika itu cukup terkenal sebagai salah satu daripada bandar-bandar terkaya di dunia.

Penaklukan ini telah diketuai oleh Afonso de Albuquerque yang merupakan Gabenor Portugis di India pada ketika itu. Pada awal abad ke 16, Portugis mula mencari peluang perdagangan baru di laut kerana tidak mahu terlalu bergantung dengan jalan darat pasaran rempah Asia.

Maka, pihak Portugis telah memutuskan untuk mencari laluan laut ke China. Penjelajah Vasco de Gama berjaya belayar mengelilingi hujung selatan Afrika pada awal abad ke 16 dengan bantuan ahli pelayaran Islam yang mahir dengan Lautan Hindi.

Muara Sungai Melaka yang dalam dan kedudukannya yang terlindung daripada tiupan angin monsun telah menjadikan ia sebagai perlabuhan yang kaya dan masyhur. Dengan penemuan baru di Eropah ini, Portugis dengan pantas menjadi kuasa tentera laut di Lautan Hindi dan cuba untuk menguasai pasaran rempah Asia.

Selepas mewujudkan pangkalan di bandar-bandar India seperti Goa dan Calicut sekitar 1510, Portugis memandang ke Timur untuk mengembangkan lagi empayar perniagaan mereka.

Pada tahun 1511, mereka mengambil keputusan untuk menakluk pelabuhan penting di rantau Asia Tenggara iaitu Melaka untuk mengawal perdagangan dengan China.

Pada mulanya mereka cuba untuk membuat hubungan mesra dengan Sultan Melaka, iaitu Sultan Mahmud Shah. Tetapi apabila Sultan diberi amaran oleh orang Islam Tamil yang telah melihat kekejaman Portugis di India, Sultan Mahmud pun menolak dan tidak mahu mengadakan hubungan perdagangan dengan pihak Portugis.

Akibat malu dan bengang apabila tawaran mereka ditolak oleh Sultan, pada 25 Julai 1511, komander Portugis iaitu Alfonso de Albuquerque dengan kekuatan 1,200 orang dan 17 buah kapal telah memulakan serangan ke atas Melaka.

Walaupun bersekutu dengan kerajaan negara jiran di sekitar Asia Tenggara pada masa itu, dikatakan Kesultanan Melayu Melaka tidak dapat bertahan lama dalam peperangan disebabkan oleh kecanggihan teknologi senjata dan serangan yang bertali arus dari pihak tentera lawan serta terdapat isu dalaman yang menjadi tali barut untuk pihak lawan. Akhirnya pada 24 Ogos 1511, Melaka telah berjaya ditawan.

Khazanah Empayar Melaka Yang Tenggelam Di Lautan

Selepas sahaja Alfonso de Albuquerque menang dan menawan Melaka, beliau telah menggeledah Kota Melaka dan Istana Sultan untuk mencuri segala harta kekayaan Melaka pada ketika itu.

Pada masa itu, memang banyak harta yang dapat mereka perolehi dan beliau telah membuat keputusan untuk membawa pulang harta-harta rampasan perang tersebut ke Portugal.

Alfonso de Albuquerque telah mencadangkan supaya kapal Flor de la Mar yang besar itu digunakan dalam pelayaran pulang ke Portugal sambil mengangkut segala harta yang dikumpulkan dalam penaklukan Melaka.

Malangnya Alfonso lupa tentang reka bentuk kapal Flor de la Mar membuatkan ia berbahaya dan tidak layak untuk belayar dengan muatan yang penuh apatah lagi sebenarnya kapal dibina dengan jangka hayat tiga atau empat tahun sahaja. Akan tetapi kapal ini telah digunakan selama 9 tahun iaitu dari tahun 1502 hingga tahun 1511.

Akibat dari sikap Alfonso yang degil, apabila kapal Flor do Mar keluar dari Melaka untuk belayar ke arah Goa dan setibanya mereka di Selat Melaka, mereka telah diserang oleh taufan yang dahsyat disertai dengan ombak yang bergelora.

Ternyata kapal Flor de la Mar itu tidak dapat bertahan lama mengharungi ribut taufan dan telah tenggelam pada malam 20 November 1511, berdekatan Sumatera di Selat Melaka.

Albuquerque dan anak perempuannya telah berjaya menyelamatkn diri. Namun, kapal tersebut telah rosak dan tenggelam sepenuhnya bersama dengan harta kekayaan yang dimuatnya.

Dikatakan terdapat pelbagai jenis barangan berharga di dalam kapal tersebut seperti 22 peti wang emas, perak, mutiara, berlian dan batu permata serta dua buah patung monyet emas bertatahkan batu permata yang dihadiahkan oleh kerajaan Siam kepada Kesultanan Melaka.

Dianggarkan kira-kira lebih 2,000 keping barang-barang berharga telah diambil dari Istana Sultan Melaka sehingga ianya mengambil masa selama tiga hari untuk mengangkut barang-barang tersebut ke dalam kapal Flor de la Mar dan dua kapal lain turut digunakan untuk memuatkan semua kargo.

Antara artifak yang direkodkan adalah hadiah dari Raja Siam (Thailand) kepada Raja Portugis, tetapi kebanyakan kargo itu adalah dari Melaka yang merupakan pelabuhan laut terkaya di Asia pada ketika itu.

Selain daripada perbendaharaan Melaka, Flor de la Mar dikatakan telah mengangkut penghormatan yang mengagumkan daripada Raja Siam untuk diberikan kepada Raja Portugis serta semua kekayaan peribadi Albuquerque.

Pada tahun 1989 dan 1990 satu kumpulan pencari harta karun dari Australia dan Amerika dengan kerjasama seorang ahli perniagaan Indonesia telah menubuhkan sebuah syarikat “South East Asia Salvage (SEAS)” dengan tujuan untuk mencari bangkai kapal Flor de la Mar. Namun begitu pencarian mereka telah menemui kegagalan dan pada tahun 1992 SEAS telah dibubarkan sepenuhnya.

Pada tahun 1992 pula, Bob Marx dari Amerika yang merupakan seorang ahli Arkeologi dan pencari harta karun terkemuka telah menggemparkan dunia apabila beliau mengatakan bahawa serpihan kapal tersebut telah berjaya ditemui setelah 3 hari melakukan pencarian di sekitar Selat Melaka. Namun begitu penemuan tersebut tidak dapat dibuktikan oleh beliau dan akhirnya ianya senyap begitu sahaja.

Khazanah Empayar Melaka Yang Tenggelam Di Lautan

Presiden Indonesia, Soeharto juga pernah membelanjakan sebanyak AS $20 juta dalam usahanya untuk menjejak harta karun yang dikatakan telah tenggelam di perairan Indonesia tetapi rezeki tidak menyebelahinya.

Adalah amat sukar untuk mencari harta karun yang dikatakan hilang tersebut ditambah lagi dengan keadaan menyelam pada kadar penglihatan sifar. Dengan bahagian bawah laut yang berlumpur. Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah keadaan kapal yang sudah tenggalam di dasar laut selama lebih 500 tahun.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

− 3 = 2