Kisah Penubuhan Pasukan Polis Di Perlis

Pasukan Polis Negeri Perlis adalah merupakan satu-satunya pasukan polis di negeri-negeri Melayu yang berkembang tanpa tunjuk ajar atau bimbingan dari sebarang Pegawai Inggeris.

Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu di utara Malaya iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu adalah di bawah kekuasaan Siam sehingga tahun 1909. Setelah termeterainya Perjanjian Inggeris Siam pada 10 Mac 1909, barulah keempat-empat negeri itu diletakkan di bawah jajahan British.

Semasa pemerintahan Raja Perlis yang ke 4 Raja Syed Alwi, Siam telah menyerahkan segala kuasanya ke atas Perlis kepada Kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Kapten Meadows Frost, iaitu Penasihat British yang pertama di negeri Perlis.

Pada tahun 1909 anggota Polis negeri Perlis mempunyai 57 orang anggota, yang terdiri dari 30 orang Mata-Mata Melayu dan 27 orang Sikh dan mempunyai tiga buah Balai Polis, iaitu Kangar, Arau dan Sanglang.

Anggota Polis Sikh di samping menjadi Mata-Mata mereka juga membuat tugas Warder yang menjaga orang-orang bersalah. Keadaan Pasukan Polis Negeri Perlis agak tidak teratur semasa penubuhannya dalam tahun 1909.

Terdapat anggota yang kurang disiplin dan berasuah tetapi keadaan itu dapat diatasi bermula pada tahun 1910 dan seterusnya, iaitu setelah Che Mat bin Kassim memegang tampuk Pentadbiran Polis Negeri Perlis.

Raja Syed Saffi

Dalam laporan Tahunan 1909, penasihat Inggeris Negeri Perlis Kapten Meadows Frost menyatakan, “Hendaklah diadakan satu Sarjan sebagai Ketua bagi satu-satu kawasan balai dan Sarjan Melayu itu diantara lain berkewajipan menjalankan kes di Mahkamah Majestrit. Pada masa itu dukacita dimaklumkan, seorang Sarjan yang ada sedang menjalani hukuman 3 tahun penjara bersabit kesalahan rasuah yang saya dapati telah lama diamalkan olehnya. Manakala seorang Lance Kopral yang memangku tempatnya hingga dapat diganti seorang Sarjan lain, telah lari ke Pulau Pinang dengan wang gaji ahli-ahli Polis. Bagi menambahkan buruk keadaan itu, ahli-ahli Polis masa itu, tiada faham akan tugas dan tanggungjawab mereka dan tiada patutnya dibiarkan begitu”.

arau

Keadaan buruk itu tidak berlangsung lama dan ia dapat diatasi apabila seorang anak Melayu pertama Perlis Che Mat Bin Kassim menyertai Perkhidmatan Polis Negeri Perlis.

Che Mat bin Kassim berkelulusan dari Penang Free School dan menyertai pasukan Polis pada tahun 1910. Beliau menjalani latihan Kepolisan di bawah Penolong Pesuruhjaya Polis W.E.Speers di Kuala Muda, Kedah selama setahun.

Setelah tamat latihan, Che Mat kembali ke Negeri Perlis pada tahun 1910 dan diberi tugas sebagai Ketua Polis Melayu Perlis berpangkat Inspektor. Che Mat berjaya memperelokkan mutu Perkhidmatan Polis dengan semangat yang jitu.

Prinsip beliau yang berpegang kuat kepada disiplin berjaya menyelesaikan masalah gaji dan penghapusan amalan rasuah.

che mat

Pengambilan anggota-anggota polis baru pada tahun 1912 adalah amat sukar kerana tidak ditemukan individu yang sesuai dikalangan orang Melayu yang ingin berkhidmat dalam Pasukan Polis.

Hal ini kerana orang-orang Melayu tidak cenderung berkhidmat dalam Pasukan Polis. Oleh kerana itu, walaupun keadaan disiplin adalah baik tetapi kekuatan anggota keseluruhan pasukan tidak mencukupi.

Sepanjang tahun 1912, terdapat 29 kes penyelewengan dikalangan anggota-anggota Polis. Daripada semua kes tersebbut, 12 kes diambil tindakan tatatertib dan 8 kes diambil tindakan Mahkamah.

Sebuah Balai Polis baru juga ditubuhkan di Kaki Bukit pada tahun 1912 untuk mengawal kurantin lembu-lembu yang dibawa masuk dari Siggora, Thailand.

beseri

Che Mat bin Kassim menjawat tugas Inspektor Polis sehingga tahun 1926, setelah itu beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Perlis dan jawatan itu disandangnya sehingga tahun 1946, iaitu setelah berkhidmat selama 37 tahun.

Pada ketika itu jumlah anggota Polis ialah seramai 130 orang. Pada tahun 1914 beliau diberi kuasa sebagai Komander Pasukan Polis sepenuhnya.

Semasa di bawah kepimpinannya, Che Mat bin Kassim telah berjaya meningkatkan kecekapan Pasukan Polis Perlis dengan memberi penekanan khusus ke atas disiplin dan latihan.

Kenaikan gaji anggota Polis juga telah berjaya diperjuangkannya serta seterusnya dapat mengawal gejala rasuah.

kaki bukit

Che Mat bin Kassim merupakan orang Melayu yang pertama di Perlis memegang jawatan Ketua Polis Perlis. Kadar jenayah terus berkurangan dan Pasukan Polis mampu dan berkebolehan dalam menjaga keamanan dan kententeraman dalam negeri.

Mata ayer

Pada tahun 1933 Penasihat British Encik O. Venables ada melaporkan, “… kecurian kerbau dan lembu yang dianggap oleh penjenayah-penjenayah dahulu sebagai satu hiburan mereka, telah berkurangan sekarang…”.

simpang empat

Peranan Che Mat bin Kassim dipuji Encik Venables kerana tindakan beliau berkesan dalam membanteras kejadian jenayah seperti mencuri lembu serta jenayah-jenayah kecil lain yang sering berlaku di zaman dahulu.

Pada tahun 1959, setelah dua tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Pasukan Polis Perlis telah disatukan dengan Kontinjen Kedah/Perlis yang beribu pejabat di Alor Setar.

Polis Perlis dijadikan sebagai sebuah daerah di bawah pemerintahan seorang pegawai Polis berpangkat TPP. Kesedaran untuk meletakkan pentadbiran Polis dari taraf daerah kepada taraf kontinjen yang akan melaksanakan pentadbirannya secara persendirian timbul setelah melihat perkembangan semasa dan dalam konteks sosio-ekonomi dan kemajuan negeri Perlis yang kian pesat membangun serta sistem pentadbiran yang mempunyai seorang Raja dan Menteri Besar.

kuala perlis

Pada 1 Januari 1989, Polis Perlis telah dipisahkan daripada kontinjen Kedah dan berdirilah Kontinjen Polis Perlis.

Sekarang Polis Perlis mempunyai dua buah daerah pengawasan, iaitu Padang Besar dan Kangar dan masing-masing diketuai oleh seorang Penguasa Polis. Kontinjen ini mempunyai enam Balai Polis iaitu di Kuala Perlis, Simpang Empat, Arau, Beseri, Kaki Bukit dan Mata Ayer.

AB Rashid

Selain itu, bagi memantapkan lagi pengawasan polis, Lima buah pondok balai telah juga diwujudkan, iaitu di Pauh, Wang Kelian, Chuping, Kok Kelang dan Kuala Sanglang.

Kontinjen Polis Perlis kini diketuai oleh Senior Asisten Komisioner Datuk Ab Rashid Ab Wahab yang ditempatkan di negeri Perlis mulai 24 Jun 2016 hinggalah sekarang.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

− 1 = 5