Kubu Bentayan, Pertahanan Terakhir Kerajaan Melayu Melaka

Sekali imbas, tidak ada apa-apa yang luar biasa dengan Kampung Brohol yang berada di Mukim Panchor, Pagoh selain daripada pemandangan di tepi Sungai Muar, Johor.

Buat peminat sejarah, Kampung Brohol mungkin menjadi lokasi yang paling ingin dilawati kerana ia menjadi saksi kisah perjuangan terakhir Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang diketuai oleh Sultan Mahmud Syah dalam menentang kemaraan penjajah Portugis pada abad ke 16.

Kampung Brohol yang terletak antara Sungai Muar dan Kuala Sungai Pagoh sememangnya menjadi lokasi strategik kepada Sultan Mahmud Syah dan angkatan perangnya bukan sahaja sebagai kubu pertahanan, malah sebagai lokasi untuk melancarkan serangan balas terhadap Portugis di Melaka.

Johari Abdul Hamid yang merupakan ketua Kampung Brohol berkata, kampung terbabit dipercayai dipilih oleh Sultan Mahmud Syah untuk membina kubu berikutan lokasinya yang agak strategik, selain sudah wujud penempatan penduduk pada waktu ini.

Kata Johari, ayahanda baginda Sultan Mahmud Syah sendiri iaitu Sultan Alaudin Riayat Syah sering mengunjungi kawasan itu ketika zaman pemerintahannya dan turut mangkat di kawasan yang dinamakan Kampung Raja yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Brohol.

Kubu Bentayan, Pertahanan Terakhir Kerajaan Melayu Melaka

Kampung Brohol yang tenang dan mendamaikan sebenarnya menjadi saksi pertempuran sengit antara perajurit Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan Portugis pada abad ke 16.

Menurut Johari lagi, selepas serangan Portugis di Melaka, Sultan Mahmud Syah dan pengikutnya berundur ke Muar. Baginda kemudiannya membina kubu pertahanan pertama di muara sungai Muar yang dikenali sebagai Kubu Bentayan.

Kubu Bentayan, Pertahanan Terakhir Kerajaan Melayu Melaka

Asakan dan serangan Portugis menyebabkan kubu pertahanan itu dapat dikuasai sehingga menyebabkan baginda Sultan Mahmud Syah terpaksa bertahan di Kota Biawak Busuk, yang terletak dalam Mukim Jorak pada hari ini.

Johari berkata, serangan berterusan dari pihak Portugis menyebabkan baginda terpaksa berundur ke hulu Sungai Muar dan kemudiannya mengambil keputusan untuk bertahan di kawasan berhampiran kuala sungai Pagoh atau Kampung Brohol yang ada sekarang.

Sultan Mahmud Syah dan pengikutnya termasuk seorang panglima handalannya iaitu Panglima Ahmad Berani atau Panglima Mat Berani, turut menjadikan kubu ketiga ini sebagai tempat untuk bertahan.

Kubu Bentayan, Pertahanan Terakhir Kerajaan Melayu Melaka

Sebuah tugu peringatan sejarah Pagoh telah dibina di atas sisa tapak runtuhan kubu pertahanan terakhir Sultan Mahmud Syah di Kampung Brohol bagi membolehkan generasi yang akan datang menghayati kisah sejarah berkenaan.

Menurut cerita penduduk tempatan, berlaku sebuah pertempuran yang hebat antara kedua-dua belah pihak. Difahamkan, pertemburan tersebut mengambil tempoh beberapa hari bertempur hingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa di kedua-dua belah pihak.

Berikutan keadaan kubu yang kuat dan utuh, Portugis terpaksa menukar taktik serangan terutama selepas banyak kapalnya yang karam akibat dibedil oleh angkatan tentera Melaka yang dipimpin oleh Sultan Mahmud Syah.

Kubu Bentayan, Pertahanan Terakhir Kerajaan Melayu Melaka

Selepas tidak berjaya menawan kubu menerusi laluan air, Portugis menukar strategi dengan melakukan serangan dari arah darat pula dengan cara mendarat kira-kira tiga atau empat kilometer dari Kampung Brohol.

Tentera Portugis menyelinap masuk melalui laluan darat dan kemudiannya sedia untuk membuat serangan hendap terhadap angkatan Melaka yang bertahan di sebalik kubu terbabit.

Tambah Johari lagi, serangan Portugis itu tidak dapat dipatahkan tentera Melaka dan menyebabkan ramai yang terkorban dan kubu itu menerima nasib yang sama seperti Kubu Bentayan dan Kota Biawak Busuk.

Kekalahan tersebut telah menyebabkan Sultan Mahmud Syah terpaksa berundur ke bahagian hulu sungai Muar dan kemudiannya ke Kampar, Indonesia. Di sana, baginda juga dikatakan turut membuat serangan balas terhadap Portugis di Melaka sehingga mangkat di kawasan sama.

Makam Panglima Mat Berani turut mengenakan batu nisan khas yang menyerupai batu nisan yang terdapat di makam Sultan Alaudin Riayat Shah di Kampung Raja Pagoh.

Kubu Bentayan, Pertahanan Terakhir Kerajaan Melayu Melaka

Kemangkatan Sultan Mahmud Syah itu membolehkan Portugis bertapak kukuh di Melaka kerana tiada lagi siri serangan berskala besar, selain hanya beberapa serangan kecil sahaja selepas itu.

Johari sempat melihat sendiri kesan kubu pertahanan terakhir Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka itu sewaktu zaman kanak-kanak dan sering menghabiskan masa bermain di kawasan terbabit kerana terletak di hadapan rumahnya sahaja.

“Masa kecil, memang saya selalu bermain di kubu itu yang berbentuk segi empat yang diperbuat daripada tanah dan agak tinggi. Namun kubu itu diruntuhkan bagi memberi laluan pembinaan jalan raya seperti yang ada sekarang yang dilaksanakan pada 1950 an.”, Johari.

Penduduk Kampung Brohol mengambil inisiatif sendiri dengan membina binaan di atas makam Panglima Mat Berani yang juga adalah satu-satunya makam atau bukti mengenai perjuangan Kerajaan Melayu Melaka ke atas Portugis yang masih dapati dilihat di Muar.

Selain itu, sebuah makam dipercayai milik Panglima Mat Berani turut disemadikan di sini. Betul atau tidak hanya tuhan yang mengetahui, namun daripada pengkaji sejarah mengatakan batu nisan yang terdapat di makam itu adalah sama atau sezaman dengan nisan yang ada pada makam Sultan Alaudin Riayat Syah.

Johari mendakwa, ketika kerja merobohkan kubu pertahanan itu dijalankan, penduduk dan pekerja turut menemui beberapa tinggalan sejarah terutama dalam bentuk senjata seperti keris dan tombak.

Bagaimanapun, tidak diketahui di mana barangan itu sekarang, sama ada ia disimpan secara individu atau hilang begitu sahaja. Ayah kepada Johari iaitu Allahyarham Abdul Hamid Abdul Raof sendiri menyimpan sepucuk lela atau meriam kecil yang dipercayai milik Sultan Mahmud Syah.

Allahyarham ayah kepada Johari kemudian telah menyerahkan lela tersebut kepada pihak Muzium Negara. Walaupun kampung itu menyimpan sejarah warisan yang agak besar, tidak banyak pengkaji sejarah atau pihak berwajib datang untuk membuat kajian mengenainya.

Kubu Bentayan, Pertahanan Terakhir Kerajaan Melayu Melaka

Kalau ada pihak berminat, mereka boleh usahakan mengkaji sejarah di sini terutama di dasar kuala sungai Pagoh dan Muar ini kerana banyak kapal Portugis karam di sini akibat pertempuran itu.

Sumber dan olahan dari:

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

4 + 4 =