Mitos, Teori Dan Asal Usul Parit Sulong Di Batu Pahat

Pekan Parit Sulong terletak di tebing Sungai Simpang Kiri. Kata orang-orang tua zaman dahulu, jika rusa masuk kampung, itu tandanya kampung akan menjadi bandar.

Begitulah alamat yang terbayang pada orang-orang lama Parit Sulong dahulu sebelum ia ditandakan sebagai salah satu kawasan pembangunan pada tahun 1950.

Dalam tahun itu, terdapat dua ekor rusa tiba-tiba muncul di Kampung Parit Jalil. Melihat pada rusa-rusa tersebut, orang-orang kampung jadi terkejut. Ada yang sempat mencapai parang dan mengejarnya untuk dijadikan makanan.

Seperti lazimnya, rusa itu pun bertempiaran lari. Tiba di bibir Sungai Simpang Kiri, kedua-dua ekor rusa itu berpisah. Seekor menuju ke hutan tebal dan seekor lagi menyeberang sungai ke arah Parit Sulong.

Bagaimanapun, kemunculan secara tiba-tiba rusa itu di Parit Sulong seolah-olah memukau orang-orang kampung di situ. Rusa itu berjalan dengan gemalainya menyeberang Kampung Dalam lalu ghaib.

parit 1

Dua tahun kemudian, apabila cerita rusa memukau itu hampir dilupakan orang, tiba-tiba kerajaan mengumumkan Parit Sulong akan dijadikan pusat pemindahan orang-orang kampung pedalaman yang diancam komunis.

Pengumuman itu disertakan dengan pelan lengkap tentang pembangunannya. Semenjak dari itu Parit Sulong terus membangun sebagai salah sebuah pekan besar dan penting di Johor sehingga kehari ini.

Bagaimanapun, apa yang menarik tentang pekan ini ialah sejarah bagaimana ia memperoleh namanya? Soalnya Sulong itu berasal daripada apa? Dikatakan, pekan itu mengambil nama sempena nama seorang pemburu diraja yang terkenal pada awal kurun ke 20.

Sulong ialah anak seorang panglima bernama Gantang yang berasal dari keturunan Megat Seri Rama atau Laksamana Bentan pada zaman Kerajaan Johor Purba.

parit 2

Semasa berlaku krisis dalam Istana, diantara kerajaan Johor dengan Raja Kecil pewaris Sultan Johor dan orang-orang Bugis, ayah Panglima Gantang, Panglima Bontak, dan keluarga serta pengikutnya telah mengundur diri ke Pahang kerana tidak mahu mencampuri perebutan kuasa itu.

Bagaimanapun, tidak lama di Pahang, Istana Pahang juga mengalami krisis perebutan kuasa dan campur tangan British. Panglima Gantang ketika itu sudah berkeluarga berserta pengikutnya dan beberapa pembesar Pahang, mengundur diri ke Bukit Inas, dekat Parit Sulong sekarang. Tiba di Bukit Inas yang mempunyai sejarah Raja Donan, rombongan Panglima Gantang pun kemudian berkhemah di situ.

Bagaimanapun, bak kata pepatah “Ke mana tumpahnya kuah,jika tidak ke nasi?”, anak-anak Panglima Gantang iaitu Sulong, Awal, Manang dan Manap meninggalkan Bukit Inas untuk membuka kampung di kaki bukit.

Bersama-sama mereka tertanam semangat dan kecekapan bermain dan membuat senjata Megat Seri Rama. Keempat-empat beradik ini terkenal dengan kecekapan memburu. Apatah lagi apabila diperkenalkan dengan senjata moden seperti senapang, memburu menjadi satu kerja yang mudah bagi mereka.

parit 3

Kecekapan mereka mashur hingga ke seluruh negeri Johor. Suatu hari ketika melawat Singapura, Sultan Ibrahim ternampak sepasang gading gajah besar dipamerkan di sebuah kedai.

Apabila ditanya dari mana asalnya gading itu, Sultan diberitahu ia dijual oleh seorang pemburu ternama dari Simpang Kiri, Johor, Pendekar Sulong namanya.

Sultan murka kerana Sulong memburu tanpa izin kerajaan, sedangkan semua hidupan liar di bawah takluk baginda. Satu rombongan dihantar ke Simpang Kiri untuk menangkap Sulong. Akibat daripada itu, Sulong telah dipenjara selama beberapa bulan

Bagaimanapun, oleh sebab banyak pembesar menasihati baginda Sultan supaya membawa pengiring yang cekap semasa memburu dan mengenang cerita orang tentang kecekapannya, Sulong kemudian diarahkan memandu Sultan semasa masuk hutan.

Ketika Sultan berburu di Kota Tinggi, Mersing dan lain-lain di pelusuk Johor, Sulong sempat menunjukkan kehandalannya. Beliau dengan segera memenangi hati Sultan yang kemudian mengampunkannya.

Sebagai menghargai jasa-jasanya pada Sultan, Sulong telah dilantik oleh baginda menjadi Ketua Kampung Simpang Kiri. Pulangnya ke kampung, Sulong segera membangunkan kampung dengan menjemput lebih ramai orang-orang Cina untuk mengusahakan tanaman gambir di Kangkar Merlimau dan Kangkar Senangar.

Di samping itu, beliau juga menggalakkan lebih ramai orang keturunan Jawa untuk meluaskan lagi Kampung Simpang Kiri. Apabila Sulong meninggal dunia, sebagai mengenangkan bahawa pelantikannya dibuat oleh Sultan sendiri, anak lelakinya hendak dilantik menggantikannya.

Bagaimanapun, oleh sebab anak lelakinya yang tua sekali masih kecil, lalu menantunya yang bernama Mohamad yang berasal dari Melaka diangkat menjadi ketua sementara.

parit 4

Apabila anaknya meningkat dewasa, tempat ketua kampung itu diserahkan kepada anaknya yang tua bernama Mian Bin Sulong. Ketika itu berlaku peperangan Dunia Ke Dua dan Jepun masuk memerintah.

Ketika itulah Kampung Simpang Kiri ditukarkan namanya kepada Parit Sulong oleh pemerintah Jepun dan Mian pula dilantik terus menjadi Soncho (Ketua Kampung).

Tetapi apabila Mian Bin Sulong meninggal dunia kerana menghidap penyakit jantung apabila hendak ditangkap oleh British, Panglima atau Kiyai Salleh yang menjadi hero orang-orang Melayu semasa pemerintahan Bintang Tiga diangkat menjadi Penghulu Kampung Parit Sulong.

Bagaimanapun, nama Sulong pewaris darah pahlawan Bentan tetap diabadikan kepada pekan yang cukup banyak kesan sejarahnya itu.

Sumber

    Sejarah Warisan Batu Pahat

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

5 + 2 =