Pemasyhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor

Pada tarikh 14 April 1895, Sultan Abu Bakar telah mengadakan satu istiadat di Johor Bahru kerana menandatangani dan memasyurkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan iaitu Perlembagaan bagi negeri Johor.

Perlembagaan bagi negeri Johor telah disediakan oleh jemaah menteri-menteri baginda yang juga turut dibantu oleh sebuah syarikat guaman di Singapura, Rodyk dan Davidson.

Dalam istiadat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor telah ditandatangani oleh Sultan Abu Bakar, adinda baginda Undu Muhamad Khalid ibni Almarhum Temenggung Ibrahim dan Tengku Mahkota Ibrahim.

Pemasyhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor

Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggung Ibrahim

Perlembagaan ini ditandatangani juga oleh ahli-ahli jemaah menteri dan ahli-ahli mesyuarat kerajaan Johor. Antara kandungan undang-undang Tubuh Kerajaan itu adalah:

  1. Syarat-syarat bagi melantik atau menabal sultan serta menetapkan wang-wang perbelanjaan dan aturan-aturan bagi menggantikan Sultan Johor itu hingga berketurunan.
  2. Peraturan-peraturan dan kewajipan-kewajipan Majlis Mesyuarat menteri-menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri.
  3. Aturan-aturan berkenaan dengan agama dalam negeri Johor.
  4. Menetapkan asas hukuman-hukuman undang-undang yang akan dijalankan di dalam mahkamah-mahkamah keadilan.
  5. Mengenai perjanjian dengan negara-negara asing.

Undang-undang Tubuh ini kemudiannya diwartakan pada 14 September 1895 (24 Rabiulawal 1333). Semenjak ia diperakukan dan dimasyurkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor ini, telah berlaku empat kali tambahan di sepanjang pemerintahan Sultan Ibrahim.

Tambahan yang pertama, ia berlaku pada 11 April 1908. Undang-undang tambahan 1908 ini menetapkan tentang peraturan mengenakan hukuman terhadap seseorang, kawalan ke atas agama Islam dan mengenai penahanan gaji pegawai kerajaan.

Tambahan kedua pula dilakukan pada tarikh 17 September 1912 yang mana dalam undang-undang tambahan ini ditetapkan peraturan-peraturan hukum bagi Mesyuarat Kerja Dewan dan Pekerjaan bagi mesyuarat kerja.

Undang-undang tambahan bagi kali ketiganya diperkenankan oleh ke bawah Duli Sultan pada tarikh 12 Mei 1914. Tambahan Undang-Undang Tubuh bertarikh 17 Julai 1918 pula memperbetulkan salah faham tentang tafsiran fasal 26 Undang-Undang Tubuh Kerajaan bertarikh 14 April 1895 iaitu mengenai belanja hidup kerabat-kerabat raja.

Pemasyhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor

Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar

Antara kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu dalam kurun masihi yang ke 19, kerajaan Johor adalah yang mula-mula sekali memakai Undang-Undang Tubuh yang bertulis. Teks asal Undang-Undang Tubuh 1895 hingga 1908 adalah ditulis dalam tulisan jawi.

Rujukan:

  • Haji Buyung Adil, Sejarah Johor, hal. 261
  • Fauzi Basri dan Hasrom Haron, Sejarah Johor Moden, hal. 229

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...