Pendekar Siamang Gagap, Pahlawan Negeri Sembilan

Jika negeri lain berbangga kerana memiliki pahlawan terbilang menentang Inggeris seperti Dato Maharaja Lela, Mat Kilau, Dol Said dan Mat Salleh, Negeri Sembilan juga tidak terkecuali mempunyai tokoh yang boleh dibanggakan dan disanjung tinggi.

Sekiranya anda melalui Kompleks Centre Point di Seremban yang membawa ke Jalan Tuan Hj Said, sudah pasti anda akan terjumpa satu jalan dengan papan tanda nama tertulis jalan Dato Siamang Gagap?

Yang tidak ketahui siapa sebenarnya Dato Siamang Gagap, sudah pasti merasakan nama jalan ini salah ejaannya.

siamang gagap

Dato Siamang Gagap atau Pendekar Siamang Gagap merupakan pahlawan Melayu yang menentang Inggeris di Negeri Sembilan. Beliau yang bertanggungjawab memimpin angkatan perang Seri Menanti menentang askar British dalam perang Bukit Putus pada 25 November 1875.

siamang gagap

Nama sebenar beliau Kahar bin Haji Mukmin, lahir di Kampung Repah kemudian berpindah ke Seri Menanti. Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana beliau mendapat gelaran Dato Siamang Gagap.

Menurut ceritanya, suatu ketika dulu memang wujud seekor Siamang yang gagap bila berbunyi. Penduduk kampung di Seri Menanti menganggap Siamang itu “keramat” kerana menjadi pelindung kepada penduduk kampung tersebut.

Apabila ada musuh datang menyerang maka Siamang Gagap itu akan berbunyi sebagai tanda amaran supaya mereka bersiap sedia. Dengan itu penduduk kampung terselamat dari serangan musuh.

Setelah Siamang Gagap itu mati maka penduduk kampung seperti kehilangan pelindung dan mereka tidak lupa jasa seekor haiwan bernama Siamang Gagap.

Dan menurut sejarahnya ada seorang lelaki mendapat gelaran Siamang Gagap daripada Yamtuan Seri Menanti kerana jasanya menyelamatkan Seri Menanti dari serangan orang-orang Rawa. Lelaki itu bernama Kahar Bin Haji Mukmin. Dan sejak itu beliau di kenali dengan nama Pendekar Siamang Gagap.

Kahar atau Dato Siamang Gagap lahir pada tahun 1817 di kampung Repah tidak jauh dari pekan Tampin. Sejak kecil dia seorang anak yang lincah dan cerdik cuma satu kekurangannya iaitu gagap bila bercakap. Tetapi apabila besar dia berjaya mengatasi masalah gagapnya.

Pada mulanya Kahar berguru kepada Tok Kali Singa seorang alim dalam ilmu agama. Kemudian dia ke Patani mendalami ilmu agama dan mempelajari ilmu persilatan.

Dan seterusnya Kahar merantau ke tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya. Dan setelah penuh ilmu di dada barulah dia kembali ke kampung halamannya.

Kahar tidak kedekut dengan ilmu yang ada. Dia mengajar ilmu agama dan ilmu persilatan kepada anak-anak muda di kampungnya. Dia juga bercita-cita menjadi pembesar istana.

Dan untuk mencapai cita-citanya Kahar mengajak ayah dan ibunya berpindah ke Kampung Sungai Layang yang letaknya tidak jauh dari istana Yamtuan Seri Menanti.

siamang gagap

Sikap Kahar yang peramah amat disenangi oleh orang-orang kampung dan ilmunya yang tinggi menjadikan dia dihormati. Dan ketika itu Seri Menanti terkenal kerana pengeluaran hasil padi yang banyak serta rakyatnya yang hidup aman damai.

Orang-orang Rawa yang berasal dari Indonesia merasa iri hati dengan kemakmuran Seri Menanti dan mereka cuba menaklukinya. Setiap malam orang-orang Rawa menyerang penduduk kampung serta merampas padi serta harta benda yang berharga. Mereka yang cuba melawan akan dibunuh atau dicederakan. Dan ini menimbulkan ketakutan dikalangan penduduk kampung tersebut.

Mereka cuba mengadu kepada pihak istana tetapi Yamtuan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang ramai tambahan pula baginda khuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang Rawa.

siamang gagap

Akhirnya Kahar memberanikan diri mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan.

Kahar menggunakan tipu helahnya untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia mengadap ketua orang-orang Rawa lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa. Kahar juga mengajak mengadu kekuatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan dari Minangkabau.

Akhirnya berlakulah pertandingan pencak silat antara kahar dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Kahar berjaya mengalahkan lawannya.

Kemudian Kahar mengatakan beliau hanyalah orang suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya lebih handal darinya. Akhirnya orang-orang Rawa merasa takut lalu meninggalkan Seri Menanti.

Sebagai menghargai jasanya berjaya menghalau orang-orang Rawa maka Yamtuan Radin menganugerahkan gelaran ‘Dato Siamang Gagap’ kepada Kahar dan beliau seterusnya dilantik menjadi pembesar istana.

Sejak memegang tugas sebagai pembesar istana Dato Siamang Gagap berjaya menjalin hubungan yang baik dengan pembesar negeri Pahang, Selangor, Johor dan Perak.

Dengan adanya hubungan baik ini maka tidak berlaku peperangan antara mereka. Tetapi kedatangan Inggeris ke tanah Melayu telah merubah segalanya. Tambahan pula Inggeris mengamalkan “Pecah dan perintah” dalam usahanya menjajah negeri-negeri di tanah melayu.

Dato Siamang Gagap yang tahu niat busuk Inggeris berjaya mempengaruhi Yamtuan supaya tidak menerima campur tangan Inggeris di Seri Menanti. Dan beliau juga berjaya menghalang Inggeris daripada mengenakan cukai di Sungai Linggi. Namun Inggeris tidak putus asa dan mereka berjaya menimbulkan perselisihan antara Dato’ Kelana Sungai Ujong dengan Yamtuan Seri Menanti.

Dengan bantuan Dato Kelana Sungai Ujong maka Inggeris menyerang Terachi yang terletak di bawah jajahan Yamtuan Seri Menanti. Dato Siamang Gagap amat marah lalu meminta izin Yamtuan mempersiapkan sebuah angkatan perang untuk menentang orang-orang Inggeris.

Maka pada tahun 1875 berlakulah perang Bukit Putus antara Inggeris yang dibantu oleh Dato Kelana Sungai Ujong dengan angkatan perang Seri Menanti yang dipimpin oleh Dato Siamang Gagap.

Kerana bilangan musuh lebih ramai ditambah pula dengan senjata meriam akhirnya angkatan perang Seri Menanti tepaksa mengalah. Kekalahan itu menyebabkan Inggeris berjaya campur tangan di Seri Menanti namun Dato Siamang Gagap tidak mahu tunduk kepada Inggeris.

Beliau akhirnya meninggalkan Seri Menanti untuk meneruskan perjuangan menentang Inggeris. Mengikut sumber Dato Siamang Gagap yang benci dan menentang kuat terhadap Inggeris kemudian mengundurkan diri ke Pahang selepas penjajah itu campur tangan sepenuhnya di Negeri Sembilan.

Ada juga sesetengah cerita mengatakan beliau bergabung dengan Dato Bahaman dan Mat Kilau menentang Inggeris disana, ada pula mengatakan beliau pergi menunaikan haji ke Mekah dan meninggal disana dan ada mengatakan beliau bersembunyi di sebuah kampong bernama Juaseh yang terletak tidak jauh dari pekan Bahau. Menurut ceritanya Dato Siamang Gagap meninggal di sana dan ada sebuah kubur lama yang dipercayai kubur beliau.

Menurut beberapa cerita orang lama, ada yang mengatakan bahawa Dato Siamang Gagap adalah Datok Bahaman. Pada tahun 1974, Rancagan Televisyen Malaysia (RTM) dalam proram jejak sejarah telah berjaya menjejaki Dato Bahaman di pahang.

Warisnya sendiri mengakui Dato Siamang Gagap adalah gelaran yang telah diberikan oleh penjajah british kepadanya. Menurut buku karangan A. Samad Idris terbitan tahun 1960an yang tidak dapat dipastikan tajuk bukunya ada mengatakan perkara yang sama mengenai hal ini.

Jika dilihat kaitan nama Bahaman dengan Abdul Rahman (Si Aman Gagah/Siamang Gagap) pasti tidak janggal untuk kita simpulkan. Ia berkemungkinan pelat/dialek orang Negeri Sembilan ini menyebut nama Bahaman, seperti Idris menjadi Dirih, dan Alias disebut Lieh.

Selain itu, terdapat kisah daripada waris Leftenan Adnan Bin Saidi sendiri yang mengatakan beliau sebenarnya berketurunan minangkabau dan merupakan keturunan Siamang Gagap. Sa’ani yang merupakan anak perempuan kepada Dato Siamang Gagap dikatakan adik beradik kepada bapa Leftenen Adnan.

Sungguhpun terdapat pelbagai cerita mengenainya, yang pasti keturunan Siamang Gagap yang lebih mengetahui cerita sebenarnya. Sesiapa yang ada cerita mengenai beliau, bolehlah berkongsi dengan kami disini.

Sumber

  • abdullatip.blogspot.my

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

28 − 19 =