
Pada tarikh 14 Mei 1955, parti-parti politik yang bertanding dalam pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tarikh 27 Julai 1955 telah menentukan pemilihan lambang parti masing-masing.
Dalam pemilihan ini, parti Perikatan telah memilih lambang kapal layar sebagai lambangnya. Parti Negara pula telah memilih lambang tangkai padi. Parti Islam Setanah Melayu mengambil lambang bulan sabit dan bintang manakala Parti Buruh Malaya memilih lambang cangkul dan pen berpalang.
Parti Kebangsaan Perak iaitu parti kepimpinan Menteri Besar Perak, Dato Panglima Bukit Gantang Hj Abd Wahab dan Parti Buruh Province Wellesley yang dipimpin oleh Puan B.H. Onn masing-masing melilih harimau serta jambatan sebagai lambang parti masing-masing.
Untuk menjayakan pilihanraya ini, Pendaftar Pilihanraya Persekutuan telah menyiapkan daftar senarai pengundi-pengundi bagi Majlis Perundangan Persekutuan yang dianggarkan berjumlah lebih sedikit iaitu 1,280,000 orang.
Selain daripada itu, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang telah mengeluarkan sendiri daftar pengundi masing-masing manakala negeri-negeri lain telah dihantarkan salinan stensil.
Inilah kali pertama lambang-lambang parti telah dipilih untuk pilihanraya dalam negara kita.
