Penerangan Sebenar Tentang Kubu British Di Bachok, Kelantan

Ramai penduduk setempat menyangka bahawa kubu yang ada di sekitar kawasan penempatan mereka adalah milik tentera Jepun, padahal kubu tersebut dibina oleh tentera British sebagai perlindungan ketika diserang tentera Jepun.

Kubu tentera British ini dikatakan telah dibina dalam tahun 1940 yang mana ia bertujuan untuk mempertahankan negeri Kelantan daripada serangan musuh sewaktu perang dunia kedua berlaku.

Kubu-kubu yang ada ini juga dikatakan telah dibina khusus setelah pihak British menerima maklumat bahawa Jepun dijangkakan akan menyerang Tanah Melayu melalui negeri Kelantan.

Kubu-kubu British ini telah dibina di beberapa lokasi yang dilihat strategik oleh tentera British pada waktu itu terutamanya di kawasan persisiran pantai di bahagian utara sepanjang Tumpat ke Bachok yang menghala ke arah Laut China Selatan.

kubu british

Dianggarkan terdapat sebanyak 25 buah kubu yang ada dari Kota Bharu ke Bachok. Sebahagian daripadanya dikatakan hampir tenggelam dek kerana hakisan pasir di pesisir pantai yang berlaku setiap tahun.

Sayangnya mercu tanda sejarah ini juga ada yang telah dijadikan tempat pembuangan sampah oleh peniaga tempatan dan menjadi tempat maksiat dan juga sarang penagihan dadah.

kubu british

Tentera British dikatakan bukan sahaja membina kubu-kubu ini pesisiran pantai malah mereka turut membina kubu di kawasan landasan kapal terbang seperti lapangan terbang Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Pasir Putih dan di Lalang Luas, Machang yang pada hari ini telah pun menjadi kawasan perumahan masyarakat Kelantan.

Setiap kubu yang dibina dikatakan berbeza mengikut kedudukan tinggi rendah dan keluasannya bergantung kepada kedudukan geografi, senjata yang diguna pakai dan bilangan tentera yang ditempatkan.

Menurut cerita lisan penduduk tempatan, tentera British yang ditempatkan di kubu-kubu ini berturunan India-Punjab dan ada di kalangan tentera-tentera tersebut dirantai kakinya oleh tentera British agar mereka tidak dapat melarikan diri ketika diserang Jepun sebaliknya memberi tentangan sengit dalam pertempuran tersebut.

Hal ini berlaku kerana mereka ini dikerahkan untuk terlibat dalam peperangan supaya dapat mengalih perhatian tentera Jepun sementara pegawai British dan orang berbangsa Inggeris di Kelantan dapat melarikan diri ke Singapura.

kubu british

Kubu-kubu seperti ini sebenarnya amat penting untuk dipelihara kerana ianya merupakan tinggalan sejarah yang amat penting dan tidak seharusnya dibiarkan menjadi tempat pembuangan sampah sarap apatah lagi menjadi sarang maksiat.

Bukti-bukti nyata seperti ini amat berharga sebagai tanda sesuatu kejadian yang diceritakan betul-betul wujud dan pernah berlaku dalam masyarakat suatu masa dahulu.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here