Peristiwa Pertabalan Agong Ke 6

Pada tarikh 28 Februari 1976, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim (Sultan Kelantan ke 27) telah ditabalkan menjadi Yang Di-Pertuan Agong ke 6.

Istiadat pertabalan yang penuh gilang-gemilang dan istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu ini telah dilangsungkan di balai rong seri, Dewan Tuanku Abdul Rahman.

Peristiwa yang cukup bersejarah ini telah disaksikan oleh Raja-Raja Melayu, gabenor-gabenor, Tuan-Tuan Yang Dipertua, perdana menteri pada waktu itu Tun Hussien Onn, bekas perdana menteri Tuanku Abdul Rahman, para menteri kabinet, ketua diplomat asing, 612 orang kenamaan, jemaah hakim dan berjuta rakyat Malaysia yang menonton di televisyen.

Semasa keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda telah memeriksa perbarisan kehormatan yang terdiri daripada 108 orang pegawai dan anggota Batalion ke 9 Askar Melayu Diraja.

Peristiwa Pertabalan Agong Ke 6

Dengan pakaian rasmi pertabalan warna hitam, baginda dan Raja Permaisuri Agong diiring masuk hingga ke singgahsana persemayaman yang terletak di pentas tujuh tingkas berwarna kuning.

Sebelum ikrar dilafazkan, dengan penuh tawadhuk baginda mengucup keris panjang diraja dan sebaik sahaja baginda melafazkan ikrar, lagu Raja Bertabal dipalu diikuti dengan teriakan 3 kali Daulat Tuanku dan bedilan meriam sebanyak 21 das.

Istiadat pertabalan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim telah diiringi dengan kumpulan nobat Diraja dari Alor Setar, Kedah.

Peristiwa Pertabalan Agong Ke 6

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim telah diputerakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan pada tarikh 10 Disember 1917.

Dalam bulan Februari 1948, baginda telah dilantik dan diisytiharkan menjadi bakal Raja Kelantan dengan gelaran Tengku Mahkota Kelantan. Baginda kemudian telah dimasyurkan menjadi Sultan Kelantan pada tarikh 10 Julai 1960 berikutan dengan kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Ibrahim (Sultan Kelantan ke 26).

Rujukan:

  • Utusan Malaysia, 29 Februari 1976, hal. 1
  • Berita Harian, 29 Februari 1976, hal. 1
  • Abdullah Mohamad Nakula, Keturunan Raja-Raja Kelantan, hal. 37

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

59 + = 63