Perjanjian Damai Naning Dan Rembau Dengan Belanda

Pada tarikh 13 Februari 1680, satu perjanjian damai diantara Belanda dengan Naning dan Rembau telah diperbaharui dan perjanjian tersebut telah dibuat di negeri Melaka.

Ia adalah merupakan satu perjanjian damai diantara negeri-negeri Melayu dengan Belanda yang sedang berkuasa di negeri Melaka.

Sejak Belanda menawan negeri Melaka pada 14 Januari 1641, ia sentiasa diancam oleh kerajaan Johor, Naning dan Rembau yang mana mereka ini masih ingin menuntut bela akan nasib kejatuhan empayar kerajaan Melaka dengan sering menyerang kubu-kubu Belanda.

Walau bagaimanapun, serangan-serangan yang dikenakan oleh kerajaan Johor, Naning dan Rembau ini dapat dipatahkan dan ditepis oleh pihak Belanda yang sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan demi mempertahankan kekuasaannya.

Dengan termeterainya perjanjian ini, Naning serta Rembau hendaklah mengiktiraf kedaulatan dan kewibawaan Belanda di negeri Melaka. Antara yang lain adalah Naning dan Rembau mesti memberi 200 gantang padi dan beberapa orang abdi sebagai denda.

Diperkatakan lagi dalam perjanjian tersebut adalah pihak Belanda punyai hak mutlak sebagai pemungut cukai dan sejak itu, pihak Belanda mula mengenakan pelbagai jenis cukai kepada rakyat di Naning dan Rembau seperti cukai kepala, jualan buah pinang, sireh, padi dan cukai tanah.

Pada tarikh 3 Februari 1643, pihak Gabenor Jeremias Van Velt bersama-sama dengan Kapten Laurens Forsebvurga dan Shahbandar Jan Janz Menie diiringi oleh 60 orang Belanda dan 100 askar tempatan telah pergi ke Naning.

Tujuan mereka ke Naning adalah untuk mendesak ketua-ketua di Naning supaya berdamai dengan Belanda dan meminta kembali hamba abda yang beragama Kristian yang berada di bawah tahanan Naning. Selain itu, pihak Belanda juga meminta rakyat di Naning untuk menanam lada hitam.

Namun apa yang berlaku, desakan daripada Belanda telah mengundang kemarahan oleh ketua-ketua dan rakyat di Naning. Tidak lama kemudian, pemungut cukai Alexander Merdos dan Kapten Laurens Forsebvurga dan Jan Janz Menie telah diserang oleh orang-orang Rembau.

Akibat daripada serangan itu, Kapten Laurens Forsebvurga dan Jan Janz Menie telah terkorban dan ekoran daripada itu, pihak Belanda telah membuat serangan balas kepada Naning serta Rembau dalam tahun 1645.

Keadaan semakin menjadi tidak tenteram apabila Naning dan Rembau melantik Raja Ibrahim dari Acheh sebagai pemimpin mereka. Pada waktu itu, Acheh sangat berkuasa dan digeruni oleh banyak pihak.

Dalam bulan Mac 1677, Raja Ibrahim telah memberi amaran kepada pihak Belanda supaya jangan campur tangan di Naning dan jangan mengganggu kapal-kapalnya di Selat Melaka.

Tidak lama kemudian, Raja Ibrahim berjaya menawam Batang Tiga dengan seramai 3,700 orang askar. Tentangan Raja Ibrahim ini berakhir apabila Raja Ibrahim terkorban di tangan seorang Bugis yang bernama Baggia dalam tahun 1679.

Setelah Raja Ibrahim meninggal dunia, Naning dan Rembau semakin lemah dan terpaksa menerima kewibawaan Belanda. Jadi, satu perjanjian damai telah diperbaharui lantas Naning dan Rembau terpaksa menandatangani perjanjian damai tersebut dengan Belanda di Melaka pada tarikh 13 Februari 1680.

Rujukan:

  • JMBRAS Part 1, History of Negeri Sembilan 1934, hal. 55

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here