Individu Yang Turunkan Union Jack Di Perlis

Mana mungkin buat golongan veteran yang merupakan rakyat Malaysia yang hidup sebelum merdeka akan lupa dengan peristiwa apabila tanah air telah mencapai kemerdekaan.

Ianya adalah peristiwa yang paling manis, paling hebat dan tidak mungkin akan dapat dilupakan dalam hidup masing-masing sehingga ke akhir hayat mereka semua.

Kisahnya pada malam sewaktu ambang kemerdekaan, setiap negeri dalam negara menurunkan bendera British iaitu Union Jack dan digantikan dengan bendera Malaysia tepat jam 12.01 pagi pada tarikh 31 Ogos 1957.

Penurunan bendera Union Jack ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat di Tanah Melayu. Di Negeri Perlis, peristiwa ini telah berlangsung di lokasi yang sekarang ini dikenali sebagai Taman Merdeka, yang terletak di Kangar.

dataran merdeka

Individu yang telah diberi tanggungjawab serta penghormatan untuk menurunkan bendera Union Jack di negeri Perlis pada malam yang cukup bersejarah itu adalah individu yang bernama Cikgu Malek.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahkan anak kelahiran negeri Perlis sendiri pun tidak tahu maklumat berkenaan dengan individu yang bernama Cikgu Malek ini.

Cikgu Malek adalah individu yang pernah berjuang bersama-sama dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussein, Dato’ Senu bin Abdul Rahman, Tan Sri Mohd Khir Johari dan Allahyarham Tun Sardon Zubir.

Mereka adalah berjuang dalam menuntut kemerdekaan negara untuk kesenangan dan nikmat buat generasi akan datang iaitu kita yang hidup pada generasi hari ini.

Ketika itu, Cikgu Malek sedang memegang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis dan beliau sering bertemu dengan tokoh-tokoh UMNO yang seperti diberitahu tadi.

cikgu malek

Nama sebenar Cikgu Malek adalah Haji Abdul Malek bin Haji Abdul Ghani. Bagi beliau, berjuang bukan untuk mendapat nama dan dipuja kenalan serta orang ramai.

Perjuangan beliau adalah semata-mata untuk menegakkan maruah agama, bangsa dan negara. Cikgu Malek yang diceritakan ini dilahirkan pada tarikh 5 September 1930 di Kampung Abi, 3km dari bandar Kangar.

Bapa kepada Cikgu Malek bernama Haji Abdul Ghani bin Datuk Sakti yang merupakan imam Masjid Paya dan dikatakan berasal dari daerah Rumbai, Sumatera Barat.

Ibu kepada Cikgu Malek pula bernama Mariam binti Haji Mat dari Padang Pauh, Jalan Kaki Bukit. Datuk kepada Cikgu Malek iaitu Haji Mat adalah merupakan seorang tokoh agama yang mengasaskan sebuah sekolah pondok di Padang Pauh iaitu Pondok Haji Mat Tok Pong.

Cikgu Malek mempunyai tujuh orang adik beradik termasuk beliau dan Cikgu Malek adalah merupakan anak sulung dalam keluarga. Maka tidak hairanlah beliau mempunyai sifat kepimpinan yang dapat dilihat.

Cikgu Malek menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Paya hingga darjah lima kemudian beliau pernah dilantik menjadi sebagai seorang guru pelatih dalam tahun 1946.

skolah melayu paya

Pada tahun 1948, Cikgu Malek telah terpilih untuk mengikuti Latihan Perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim sehingga tahun 1950.

Beliau akhirnya kembali ke Perlis dalam bulan Jun 1950 dan beliau telah memulakan kerjaya sebagai seorang guru terlatih di Sekolah Melayu Kangar Lelaki hingga tahun 1952.

UPSI

Kemudian beliau bertukar ke Sekolah Melayu Beseri selama setahun hingga tahun 1958. Beliau dilantik menjadi guru besar pertama Sekolah Melayu Tunjong Bulan Jun 1950, yang sekarang dikenali dengan panggilan Sekolah Kebangsaaan Seri Tunjong.

Selepas itu, Cikgu Malek kembali bertugas di Sekolah Melayu Kangar Lelaki hingga tahun 1962 apabila kemudiannya mendapat tawaran memasuki Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur selama setahun.

Pada tahun 1963, beliau kembali ke Perlis dan ditempatkan mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Derma Kangar. Selepas 2 tahun, beliau sekali lagi dilantik menjadi Guru Besar Pengasas dan kali ini di Sekolah Menengah Anika Jurusan Kayang yang sekarang dikenali dengan panggilan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kayang. Beliau menyandang jawatan itu hingga tahun 1972.

Maktab bahasa

Beliau juga pernah dilantik menjadi Penolong Pengelola Sekolah-Sekolah Negeri Perlis dan ditempatkan di Jabatan Pelajaran Perlis pada tahun 1972.

Dalam tahun 1980, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pengelola Sekolah-Sekolah Negeri Perlis. Setelah 4 tahun, beliau kemudian menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendaftaran dan Perhubungan di Jabatan yang sama hinggalah bersara pada tahun 1986.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui peranan besar yang dimainkan oleh Cikgu Malek dalam bidang politik di samping jasanya dalam bidang pendidikan.

Beliau telah melibatkan diri secara langsung dalam UMNO dan Persatuan Guru-Guru Melayu Negeri Perlis selepas kembali dari Maktab Perguruan Tanjung Malim.

Tetapi sebenarnya beliau menjadi ahli UMNO sejak UMNO diwujudkan tahun 1946 lagi sewaktu usianya 17 tahun. Perjuangan Persatuan Guru-Guru Melayu adalah berusaha menegakkan kedaulatan bahasa dan bangsa Melayu di negara ini.

Begitu juga dengan peranan UMNO di samping berusaha mendapatkan kemerdekaan negara. Bermula pada tahun 1955, Cikgu Malek menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri Perlis selama 3 tahun hingga negara mencapai kernerdekaan pada tahun 1957.

Beliau merupakan salah satu daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang terawal sebelum merdeka. Semasa pilihan raya pertama pada tahun 1955 yang diadakan di negara ini, beliau terlibat secara langsung dalam kempen bagi pihak calon Perikatan.

Calon tunggal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Persekutuan di Perlis ketika itu ialah Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad bin Mohd Hashim iaitu Menteri Besar Perlis pertama selepas kemerdekaan. Pada masa itu, bekas Ketua Polis Negeri Perlis yang pertama, Allahyarham Che Mat Haji Kassim atau lebih dikenali dengan panggiian Che Mat Chief menjadi calon pembangkang atas tiket bebas menggunakan lambang Cawan. Calon Perikatan menggunakan lambang Kapal Layar. Tan Sri Sheikh Ahmad menang dalam pilihan raya itu.

perikatan

Sewaktu menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis selama tiga tahun menjadi itulah, Cikgu Malek secara langsung berjuang bersama pemimpin-pemimpin besar negara memperjuangkan kemerdekaan.

Beliau di antara rakyat Malaysia yang bertuah kerana diberi peluang menurunkan bendera Union Jack dan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu pada malam negara menyambut kemerdekaan.

Upacara itu diadakan di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang dengan disaksikan oleh kira-kira 1,000 rakyat berbilang kaum. Peristiwa ini berlangsung tepat pada pukul 12.01 pagi, 31 Ogos 1957.

union jack

Allahyarham Cikgu Osman Abdullah, bekas Anggota Parlimen yang ketika itu menjadi Setiausaha UMNO negeri Perlis membaca Perisytiharan kemerdekaan negara, diikuti bacaan doa oleh Dato’ Setia Bakti Ustaz Nordin Ismail, iaitu Ketua Penerangan UMNO negeri Perlis ketika itu yang juga seorang pendakwah tempatan.

Apabila negara telah merdeka, Cikgu Malek menyedari kelayakkan akademiknya tidak setanding dengan tokoh-tokoh pejuang yang lain. Oleh itu beliau menarik diri daripada menjadi pemimpin utama dalam UMNO. Beliau hanya menjadi ahli biasa sahaja.

Beliau berazam melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bagi meningkatkan taraf akademiknya. Beliau mengambil peperiksaan School Certificate (SC) yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang dengan cara belajar sendiri.

Beliau lulus pada tahun 1960. Cikgu Malek semasa membuat persediaan memasuki universiti, telah menerima tawaran daripada Ketua Pegawai Pelajaran Perlis ketika itu, Datuk Ariffin Md. Nam, untuk menjadi guru besar pertama di Sekolah Menengah Anika Jurusan, Kayang. Tawaran itu diterimanya kerana khidmat beliau amat diperlukan.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Pengasas Kelab Lions Negeri Perlis sejak tahun 1971 hingga 1978 dan Ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK) selama lima tahun bermula tahun 1991.

Hasil perkahwinannya dengan Hajah Wan Salma binti Haji Abdullah, beliau telah dianugerahkan lima cahaya mata. Hobi beliau ialah membaca, bercucuk tanam dan mengembara.

Beliau pernah ditugaskan sebagai guru Bahasa Melayu kepada sukarelawan Amerika di Hawaii selama tiga bulan. Beliau sempat mengelilingi dunia untuk menimba pengalaman semasa perjalanan pulang ke tanah air.

merdeka

Cikgu Malek kembali aktif semula dalam UMNO Setelah bersara , dan beliau diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kangar pada tahun 1987.

Jawatan itu dipegangnya selama tiga penggal. Bagaimanapun, pada tahun 1998, beliau hanya menjadi Naib Ketua UMNO Cawangan Pekan Kangar. Cikgu Malek kali terakhir diketahui tinggal di Taman Indera, Kangar pada tahun 1998, mengisi usia persaraannya dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela.

Begitulah perjuangan seorang guru yang sangat patriotik sehingga diberi peluang untuk menurunkan bendera Union Jack dalam peristiwa yang sangat bersejarah dalam negara ini. Semoga perjuangan beliau menjadi inspirasi kepada kita untuk terus menjaga maruah agama, bangsa dan negara ini.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

2 + 8 =