Teori Dan Asal Usul Nama Negara Malaysia

Persekutuan Tanah Melayu adalah nama negara Malaysia sebelum nama Malaysia digunakan secara rasmi. Sebelum negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, nama-nama seperti kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Selat dan Malayan Union adalah sebahagian daripada cebisan sejarah pembentukan Malaysia.

Ramai yang bertanya, bagaimana asal usul nama Malaysia ini tercipta? Berdasarkan catatan sejarah yang kurang didendangkan, ia bukanlah nama daripada ilham Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Tunku Abdul Rahman seperti yang disangka-sangkakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Di dalam arkib negara juga secara khususnya tidak mempunyai rekod dokumen rasmi yang menyatakan siapakah individu yang menamakan Malaysia ini. Walaupun begitu, terdapat beberapa andaian dan teori untuk menjawab persoalan ini kerana terdapat rekod bertulis yang mungkin boleh membuktikan sesuatu dalam beberapa penulisan seperti buku, rencana dan peta.

Teori pertama ada tertulis dalam sebuah rencana berjudul Sur:Es Iles Du Grand Ocean (On The Island of The Great Ocean) yang telah diterbitkan di dalam Bulletin De La Societe de Geographie pada tahun 1832 dan ditulis oleh penjelajah Perancis bernama Dumont d’Urville.

Dalam rencana tersebut, Dumont d’Urville telah mencadangkan agar Lautan Pasifik Selatan dinamakan Oceania dan dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Polynesia, Melanesia, Micronesia dan Malaisie. Perkataan Malaisie kemudian ditukar kepada nama Malaysia oleh seorang ahli geografi Amerika Syarikat bernama Thomas G. Bradford dalam tahun 1835.

Satu lagi teori lain adalah berkenaan dengan sebuah peta yang pernah dilakar oleh seorang ahli geografi dan kartografer berbangsa Scotland bernama Alexander Keith Johnston dalam tahun 1845 yang diberi tajuk South Eastern Peninsula and Malaysia.

Peta yang dilakar oleh Alexander Keith Johnston pada tahun 1845

Peta yang dilakar oleh Alexander Keith Johnston pada tahun 1845

Alexander Keith Johnston ada menyatakan bahawa Malaysia ini merangkumi Semenanjung Melayu dan Kepulauan Melayu iaitu termasuk Sumatera, Tanah Jawa, Tanah Melayu, Pulau Pinang, Singapura, Kemboja, Siam, Burma, Brunei dan Filipina. Menurutnya, nama Malaysia ini juga merujuk kepada kaum Melayu yang punyai kuasa dominan dan peneroka terawal di kawasan Tanah Nusantara.

Antara teori lain yang ada, nama Malaysia juga turut disebut dalam buku bertajuk Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule yang diterbitkan dalam tahun 1937. Buku tersebut adalah hasil penulisan Rupert Emerson dan dalam buku The People of Malaysia yang diterbit pada tahun 1945) ditulis oleh Fay-Cooper Cole.

Rupert Emerson ini adalah seorang profesor yang arif dalam bidang sains politik dan hubungan antarabangsa. Beliau pernah berkhidmat di fakulti Harvard University selama 43 tahun dan beliau juga pernah berkhidmat dengan kerajaan Amerika Syarikat dengan menyandang pelbagai jawatan dalam kerajaan. Fay-Cooper Cole pula adalah seorang profesor dalam bidang antropologi dan beliau adalah pengasas untuk jabatan antropologi di Universiti Chicago dan merupakan pelajar dari Franz Boas.

Buku A Study in Direct and Indirect Rule yang ditulis oleh Rupert Emerson tahun 1937

Buku A Study in Direct and Indirect Rule yang ditulis oleh Rupert Emerson tahun 1937

Menurut dua buah buku yang disebut itu tadi, nama Malaysia ialah Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) atau Tanah Melayu meliputi kawasan Tanah Nusantara termasuk Hindia Timur, Borneo dan tidak ketinggalan kawasan Tanah Filipina.

Teori lain yang ada adalah berkenaan dengan duit syiling aluminium. Duit syiling yang ingin diceritakan ini adalah berasal pada zaman pendudukan Jepun dalam tahun 1942 di negara kita. Wang syiling 20 sen ini difahamkan telah dikeluarkan pada tahun 1942 walaupun ada tertulis 2602 sebenarnya ia merujuk kepada kalendar tahun Jepun.

Seperti yang ditulis oleh seorang penyelidik dalam buku bertajuk The Japanese Occupation Of Malaya (Singapore), Kementerian Kewangan di Jepun ada mengesahkan bahawa nama Malaysia pada duit syiling ini sebenarnya mewakili nama umum untuk penduduk di Malaya pada masa itu.

Duit syiling aluminium pada zaman pemerintahan Jepun tertera perkataan Malaysia

Duit syiling aluminium pada zaman pemerintahan Jepun tertera perkataan Malaysia

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Jepun sememangnya mengiktiraf orang-orang Melayu sebagai pribumi. Bagaimanapun, terdapat beberapa penulisan yang telah mengutarakan plot teori yang sangat menarik untuk dibincangkan disini.

Lazimnya, nama-nama utama untuk sebuah negara di dunia ini akan berakhir dengan perkataan land dari bahasa bahasa Inggeris, tan dari bahasa Parsi dan sia dari bahasa Latin. Perkataan-perkataan yang berbeza ini membawa maksud dan makna yang sama iaitu tanah atau kepulauan.

Antaranya ialah Scotland yang membawa makna tanah bangsa Scott, England, Thailand, Iceland, Pakistan yang membawa makna tanah suci, Afganistan, Kazakhstan, Algeria yang membawa makna tanah bangsa Algiers, Rusia, India, Columbia dan banyak lagi untuk disenaraikan.

Jadinya, untuk nama Malaysia pula berkemungkinan adalah berasal dari gabungan antara dua perkataan iaitu Malay dan sia. Daripada hujah tersebut, barangkali andaian itu ada logiknya kerana Malay-sia yang membawa maksud Land Of Malay iaitu Tanah Bangsa Melayu.

Kesimpulannya, berdasarkan teori-teori dan rekod yang ada boleh menyokong kuat tentang kenyataan penggunaan nama Malaysia yang mana ia telah digunakan sebelum sejak tahun 1889 lagi. Nama Malaysia ini jelas telah digunakan lebih awal daripada tarikh kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here