Terusan Paling Tua Di Semenanjung Bermula Di Perlis

Terusan buatan manusia paling tua di semenanjung Malaysia dipercayai bermula di Negeri Perlis. Terusan tersebut dibina dengan kerahan tenaga manusia sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Dhiauddin Almukaram Shah (Sultan Kedah ke 15).

Sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Dhiauddin Almukaram Shah (Sultan Kedah ke 15) antara tahun 1661 hingga 1687, ketika itu Perlis berada di dalam naungan negeri Kedah.

Terusan ini memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan harian dan juga amat penting buat satu penempetan dalam pelbagai sektor sejak ratusan tahun dahulu lagi.

Oleh kerana tiada teknologi moden untuk membina jalan perhubungan, sungai atau terusan dibina untuk mengambil peranan sebagai jalan perhubungan yang paling mudah untuk didapati.

Terdapat juga sungai semula jadi yang berperanan penting sebagai jalan perhubungan. Bagaimanapun bagi kawasan yang tidak mempunyai sungai semula jadi telah menjadi salah satu faktor penting kenapa dibina terusan di satu kawasan.

Terusan Kota Kayang pada tahun 1996

Almarhum Sultan Dhiauddin Almukaram Shah (Sultan Kedah ke 15) bersemayam di Kota Indera Kayangan yang terletak kira-kira 3 kilometer dari bandar Kangar sekarang.

Baginda bersemayam di istana tersebut bersama permaisuri yang disayangi dan dalam pada masa yang sama, baginda juga mempunyai seorang lagi isteri yang tinggal di istana baginda di Bukit Pinang, Kedah.

Pada masa itu, kawasan di antara Kota Almarhum Kayang dengan istana di Bukit Pinang adalah merupakan kawasan hutan yang amat sukar dilalui. Terdapat banyak juga binatang buas yang bahaya jika hendak berjalan kaki melalui jalan darat.

Kini dibina Muzium Kota Kayang di kawasan Kota Indera Kayangan suatu masa dulu

Oleh yang demikian, Almarhum Sultan Dhiauddin Almukaram Shah (Sultan Kedah ke 15) telah mengarahkan terusan untuk dibina bagi menghubungkan kedua-dua istana baginda ini agar dapat memudahkan baginda berulang alik daripada istana tempat bersemayamnya permaisuri dan tempat persemayaman isteri muda baginda.

Orang Melayu sejak zaman dahulu lagi cukup terkenal dengan sifat begitu taat dan setia kepada sultan yang memerintah. Mereka sanggup melaksanakan apa sahaja perintah sultan walaupun ia merupakan suatu yang agak membebankan.

Peta menunjukkan laluan terusan dari Kota Kayang hingga ke Bukit Pinang

Para menteri terus bermuafakat bersama penduduk tempatan untuk menjalankan kerja-kerja mmebina terusan sebagaimana dikehendaki oleh Almarhum Sultan Dhiauddin Almukaram Shah (Sultan Kedah ke 15).

Dikatakan beribu-ribu rakyat terlibat dalam kerja-kerja pembinaan terusan tersebut dan ia mengambil masa beberapa tahun untuk siap dan sedia sepenuhnya untuk digunakan.

Walaupun hanya menggunakan Kedan iaitu sejenis alat penggali yang diperbuat daripada kayu akhirnya pembinaan sebuah terusan buatan manusia sepanjang lebih kurang 70 kilometer dari Kota Almarhum Kayang hingga ke Bukit Pinang siap sepenuhnya.

Terusan tersebut dibina selebar kira-kira 20 kaki dan dalam kira-kira 8 kaki. Terusan ini bermula dari Sungai Perlis di Kota Almarhum Kayang melalui Titi Serong, Titi Beratap, Behor Mali, Pekan Simpang Empat dan Sanglang di Perlis terus ke Ayer Itam, Alor Changileh, Kampung Che Madi dan hingga ke Bukit Pinang bersambung dengan Sungai Kedah di negeri Kedah sekarang.

Keadaan terusan berdekatan dengan Muzium Kota Kayang sekarang

Apabila siap terusan tersebut, sultan begitu gembira kerana dapatlah baginda berulang-alik menemui isteri muda selain daripada tinggal bersama permaisuri di istana Kota Indera Kayangan.

Almarhum Sultan Dhiauddin Almukaram Shah (Sultan Kedah ke 15) berulang-alik tinggal di istana Bukit Pinang selama 40 hari dan kemudian tinggal pula bersama permaisuri di Kota Indera Kayangan juga selama 40 hari.

Semasa menaiki sampan untuk berulang-alik ke istana isteri muda di Bukit Pinang, baginda melihat di kiri kanan terusan tersebut terdapat hutan tebal yang begitu subur, ditumbuhi dengan pokok-pokok gelam dan berbagai-bagai pokok hutan lain.

Melihat akan keadaan tersebut, baginda teringat alangkah baiknya jika kawasan hutan tersebut dibuka untuk dijadikan kawasan penanaman padi. Baginda yakin dengan demikian akan menarik ramai rakyat meneroka hutan tersebut dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

Perahu salah satu pengangkutan utama pada masa dulu

Ramai rakyat yang membuka kawasan perkampungan di sepanjang pesisiran terusan tersebut dari Kota Indera Kayangan hingga ke Bukit Pinang dan di sekeliling kampung yang dibuka itu merupakan kawasan padi.

Sawah padi berkenaan menggunakan sumber bekalan air daripada terusan yang dibina. Dengan demikian ternyata peranan yang dimainkan oleh terusan itu semakin meluas, daripada hanya untuk laluan sultan, kemudiannya menjadi sumber bekalan air ke sawah padi di kiri kanannya.

Tanah sawah yang baru dibuka begitu subur sekali dan lebih menarik minat orang ramai untuk terus membuka kawasan perkampungan serta kawasan-kawasan sawah padi secara lebih meluas lagi.

Selain penduduk tempatan, difahamkan mereka yang terbabit membuka kawasan perkampungan di sepanjang terusan buatan tersebut termasuk juga dari sekitar negeri Kedah dan dari wilayah Satun, selatan Thailand yang suatu ketika dahulu berada di bawah pemerintahan Sultan Kedah.

Semasa termeterai perjanjian antara kerajaan negeri Kedah dan Thailand yang membawa kepada satu syarat bahawa Sultan Kedah mesti menghantar ufti bunga emas kepada Raja Thai, terusan tersebut menjadi laluan kepada para pembawa bunga emas itu untuk pergi ke Thailand.

Replika bunga emas di Muzium Kota Kayang

Ini terbukti apabila terdapat satu tempat yang menjadi laluan terusan tersebut diberi nama Kampung Bunga Emas. Di kampung berkenaan pula terdapat sebuah perigi dan sebatang pokok Pukul Lima besar yang dikatakan tempat persinggahan rombongan pembawa bunga emas itu untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Keunikan pokok pukul 5 adalah daunnya menguncup sekitar pukul 5 petang

Begitulah besarnya kegunaan dan manfaat terusan buatan manusia itu. Para petani yang hendak membawa padi mereka dari sawah ke rumah juga menggunakan terusan berkenaan yang dimuatkan ke dalam sampan.

Mereka yang mempunyai saudara mara di Kedah dan Perlis juga turut tidak melepaskan peluang untuk menggunakan terusan tersebut sebagai laluan menziarahi rumah saudara masing-masing.

Keadaan terusan sekarang di Kampung Bunga Emas

Apabila kampung semakin banyak muncul di sepanjang terusan itu, para penduduk yang tinggal di kampung-kampung tersebut menjadikan air di dalamnya sebagai sumber untuk mandi dan membasuh pakaian setiap hari sementara untuk minuman digunakan air perigi yang digali.

Terusan berkenaan memainkan fungsi tersebut sehingga tahun 1960. Sewaktu kerajaan menubuhkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada awal tahun 1970, terusan buatan itu telah dijadikan laluan asas untuk mengalirkan air dari Empangan Muda ke sawah-sawah padi di kawasan utara negeri Kedah hingga ke selatan negeri Perlis.

Pihak MADA telah meluas dan mendalamkan terusan itu supaya lebih berkemampuan mengalirkan air ke sawah padi untuk membolehkan sawah-sawah di kiri kanannya ditanam padi dua kali setahun bagi meningkatkan pendapatan petani.

Sawah padi di samping terusan yang subur dan indah

Sekarang di tebing terusan itu pula telah dibina jalan raya yang membantu mendekatkan lagi hubungan antara Bandar Alor Setar di Kedah dengan Bandar Kangar di Perlis.

Jaraknya hanya kira-kira 24 kilometer berbanding jalan lama dari Kangar melalui Kodiang, Jitra, Kepala Batas dan Alor Setar yang mengambil jarak lebih 40 kilometer.

Bagaimanapun, terdapat termpat-tempat tertentu di kawasan terusan tersebut yang telah ditambak untuk dijadikan tapak kedai dan tapak bangunan-bangunan lain.

Rujukan : Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 8

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

1 COMMENT

  1. Abad ke 16 ni. Mana syarif yg diPertuan dan Nai2 sekelian tu. Depa buat apa. Maharaja benua siam islam. Sendiri lantik ka. Org patani pun terkejut dengan dakwaan tu.

Leave a Reply to Iman Cancel reply

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here