Tetang Tun Hussein Onn Yang Ramai Tidak Tahu

Tun Hussein Bin Dato Onn adalah merupakah Perdana Menteri Malaysia yang ke tiga dan beliau telah meletakkan perpaduan kaum sebagai elemen utama dalam pentadbiran beliau.

Walaupun dalam masa beliau sedang memegang pucuk pimpinan negara didatangi anasir subversif dan kegiatan penganas komunis yang semakin reda, namun beliau tetap memberi tekanan yang khusus terhadap soal perpaduan kaum kerana sebarang hal berkait isu kestabilan negara tidak boleh dikompromi.

Tun Hussein Onn berpandangan bahawa jika soal sosio-politik negara tidak stabil, maka kesannya terhadap ekonomi negara juga akan tergugat dan seterusnya akan memberi kesan negatif terhadap kehidupan rakyat.

Atas rasional inilah yang menyebabkan Perdana Menteri Tun Hussein Onn telah menyusun langkah-langkah dalam penyatuan untuk merapatkan jurang polarisasi hubungan antara kaum.

Antara jentera yang digunakan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dalam negara ini adalah dengan penggunaan Bahasa Kebangsaan dan mencambahkan kepelbagaian ciri identiti nasional agar ia dapat dikongsi bersama secara lebih meluas oleh rakyat Malaysia.

Tetang Tun Hussein Onn Yang Ramai Tidak Tahu

Tun Hussein Onn dilahirkan pada tarikh 12 Februari 1922 di Johor Bahru dan beliau adalah merupakan cahaya mata kepada Dato Onn Jaafar dan Datin Halimah Hussein.

Beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Teluk Kurau, Singapura dan kemudian ke English College yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

Malangnya pendidikan beliau tidak dapat diteruskan selepas menamatkan Senior Cambridge berikutan berlakunya Perang Dunia Kedua. Tun Hussein Onn terus menyertai pasukan tentera Johor, Johor Military Forces dan menjalani latihan di Maktab Tentera Sandhurst di Dehra Dun, India yang dikendalikan oleh kerajaan British.

Tetang Tun Hussein Onn Yang Ramai Tidak Tahu

Setelah lulus dengan cemerlang dan ditauliahkan sebagai tentera terlatih, Tun Hussein Onn telah dihantar bertugas ke Timur Tengah untuk menyertai tentera British semasa Perang Dunia Kedua.

Selepas perang tamat, Tun Hussein Onn telah dilantik oleh kerajaan British sebagai tenaga pengajar di Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya di Rawalpindi.

Segala pengalaman dalam ketenteraan dan polis telah membina perwatakan Tun Hussein Onn yang amat tebal dengan displin diri serta pentadbiran yang dipimpinnya.

Beliau pernah menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Pentadbir di Segamat, Johor dan kemudian dipindahkan sebagai Pegawai Daerah Kelang dan Kuala Selangor.

Bakat politik Tun Hussein jelas diwarisi daripada bapanya iaitu Dato Onn Jaafar yang merupakan bekas Menteri Besar dan Yang Dipertua UMNO yang pertama.

Malah sejak kecil lagi, Dato Onn mendidik anaknya secara tegas dan berdisplin. Bidang politiknya bersinar apabila dilantik sebagai ketua pemuda UMNO yang pertama pada tahun 1949 sewaktu berusia 27 tahun.

Seterusnya dalam tahun 1950, beliau dipilih sebagai Setiausaha Agung UMNO. Kerjaya politiknya terhenti buat seketika apabila beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan Undang-undang di London dan sekembalinya ke tanah air, Tun Hussein Onn telah memenangi pilihanraya pertama pada tahun 1969.

Penyertaan beliau dalam kabinet Malaysia bermula pada september 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Pelajaran oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato Hussein.

Seterusnya, Tun Hussein telah dipilih menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1973. Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak Dato Hussein ke Rahmatullah pada 14 Januari 1976, satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO telah diadakan pada hari tersebut dan Tun Hussein Onn telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO.

Pada hari Khamis bertarikh 15 Januari 1976, Tun Hussein Bin Dato Onn telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Tetang Tun Hussein Onn Yang Ramai Tidak Tahu

Ketegasan dan sifat kepimpinan semulajadi yang dimiliki oleh beliau telah membuka ruang kepada Tun Hussein untuk menerajui pucuk pimpinan negara dengan menerapkan nilai murni yang diperlukan untuk membina sebuah negara yang teguh dan tidak terdedah kepada sebarang anasir yang boleh menggugat kedudukannya.

Pada pandangan beliau, setiap individu yang mengiktiraf diri mereka sebagai warganegara Malaysia perlu memelihara kesejahteraan dan kedamaian bagi memastikan keharmonian hidup bernegara dapat dipertahankan.

Justeru antara pendekatan penting yang dilaksanakan oleh Tun Hussein ialah mewujudkan konsep Rukun Tetangga yang menuntut rasa tanggungjawab dan prihatin komuniti terhadap kawasan kejiranan.

Sebagai agenda serampang dua mata, aktiviti Rukun Tetangga telah menyemarakkan hubungan mesra antara penduduk di kawasan yang terlibat di samping mengawal keselamatan kawasan kejiranan.

Atas usaha dan kesungguhan beliau menjayakan agenda perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn di beri gelaran Bapa Perpaduan Malaysia.

Daripada prospektif ekonomi pula Tun Hussein Onn telah berusaha merealisasikan hasrat dan matlamat Dasar Ekonomi Baru dan meneruskan agenda Tun Abdul Razak untuk merapatkan jurang ekonomi yang menjadi punca perbalahan kaum pada 13 Mei 1969.

Beliau telah memperkemaskan pelbagai agensi yang dapat membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan menaik taraf hidup rakyat seperti Majuternak, Lembaga Padi dan Beras Negara, FAMA, Pertubuhan Peladang Kawasan.

Melalui agensi-agensi berkenaan, program pembangunan pertanian dapat diselaraskan dan pada masa yang sama memberi peluang yang lebih kepada rakyat, terutamanya penduduk luar bandar untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Atas agenda yang sama juga, Tun Hussein Onn telah melancarkan Skim Amanah Saham Nasional pada tahun 1981 yang bertujuan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.

Tetang Tun Hussein Onn Yang Ramai Tidak Tahu

Sehingga kini, Amanah Saham Nasional menjadi landasan terbaik rakyat untuk melabur serta turut sama menikmati hasil kemewahan negara melalui pulangan pelaburan yang menguntungkan.

Setelah berkhidmat selama hampir 5 tahun sebagai Perdana Menteri yang ke 3, Tun Hussein Onn meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan pada 17 Julai 1981.

Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat semasa menjalani rawatan di sana. Beliau telah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Rujukan:

  • Pena Tokoh Blogspot
  • Artikel ini dihantar oleh individu yang tidak bernama / tidak berdaftar

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here