Tun Dr Ismail Timbalan Perdana Menteri Ke 2 Dari Johor

Individu hebat ini dilahirkan pada tarikh 4 November 1915. Segala jasa dan pengorbanan Tun Dr. Ismail Bin Dato’ Haji Abdul Rahman terhadap negara sentiasa dikenang walaupun lama selepas ketiadaannya.

Mantan timbalan Perdana Menteri ke 2 ini diperakui sememangnya pakar dalam hubungan antarabangsa dan mempunyai rekod cemerlang dalam hal-ehwal dalam negeri.

Secara ringkasnya, beliau adalah pemimpin yang mantap apabila bergandingan tenaga bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman serta Tun Abdul Razak dalam proses memperkukuhkan negara bangsa Malaysia.

Anak kelahiran Johor Bahru ini menerima pendidikan awal di Sekolah Bukit Zaharah dan kemudian melanjutkan pelajaran di English College di Johor Bahru.

Setelah lulus dengan cemerlang dalam pendidikan peringkat menengah, beliau melanjutkan pelajaran ke King Edward College of Medicine, Singapura dari tahun 1936 sehingga tahun 1939.

ismail 1

King Edward College of Medicine, Singapura

Setelah itu, beliau telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke Queen’s College Melbourne University, Australia dan beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan tahun 1945.

Beliau juga telah menerima penghargaan dan ianya telah menjadi kebanggaan buat negara kita kerana menjadi anak melayu pertama lulus Ijazah Perubatan dari Universiti tersebut.

Sekembali ke tanah air, beliau mula menyertai Jabatan Kesihatan Johor buat seketika dan kemudian membuka klinik perubatannya sendiri yang dikenali sebagai Tawakkal di Johor Bahru.

Tun Dr. Ismail mula menempa nama dalam bidang politik apabila beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor tahun 1948 sehingga tahun 1954.

ismail 2

Dalam peringkat persekutuan pula, beliau mula menyertai UMNO pada tahun 1951 setelah Dato’ Onn Jaafar meletak jawatan dan Tunku Abdul rahman diangkat sebagai Presiden UMNO.

Beliau juga menganggotai Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan oleh Sir Gerald Templer pada tahun 1955 dan setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Tanah, Perlombongan dalam kabinet persediaan Tunku Abdul Rahman.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Tun Dr. Ismail telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada tahun 1956. Tunku Abdul Rahman turut memilih beliau sebagai salah seorang ahli rombongan ke London pada Februari 1956 bagi rundingan kemerdekaan Tanah Melayu.

Beliau juga telah dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat yang pertama dan pada masa yang sama sebagai wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

ismail 3

Sebaik pulang ke tanah air, khidmat dan pengalaman luas beliau dalam politik amat diperlukan menyebabkan beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian buat kali kedua serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri antara tahun 1960 hingga tahun 1967.

Atas sebab-sebab faktor kesihatan yang tidak berapa baik, Tun Dr. Ismail telah bersara sementara waktu daripada bidang politik negara dan menjalani rawatan kanser di London.

Atas desakan keadaan selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, Tun Dr. Ismail kembali melibatkan diri dalam kancah politik demi kepentingan negara. Beliau sekali lagi telah dilantik sebagai Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri dan bertanggungjawab membantu Tun Abdul Razak meredakan ketegangan dalaman ini sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Apabila keadaan negara telah pulih sepenuhnya, Tun Abdul Razak telah sebulat suara dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 2 dan melantik Tun Dr.Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1971.

Tun Dr. Ismail telah menampilkan prestasi yang amat membanggakan dan banyak membantu meringankan tugas serta tekanan yang dihadapi oleh Tun Abdul Razak ketika itu.

Tun Dr. Ismail juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri ketika Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak berada di luar negara.

ismail 4

Jenazah Tun Dr Ismail mendapat penghormatan terakhir dari Yang Di Pertuan Agong dan Perdana Menteri

Pada tarikh 2 Ogos 1973, Tun Dr. Ismail meninggal dunia akibat serangan jantung dan dimakamkan di Makam Pahlawan yang merupakan pemimpin pertama disemadikan di situ.

Ungkapan beliau, “Jangan sapu ke bawah permaidani” yang sangat terkenal diingati sehingga ke hari ini. Ungkapan ini timbul berikutan permasalahan ekonomi orang Melayu yang sangat daif tetapi cuba ditutup begitu sahaja, sehingga akhirnya tercetus peristiwa 13 Mei 1969.

Sumbangan pemikiran beliau yang luar biasa memberi inspirasi kepada Akademi Perubatan Malaysia menganjurkan pidato Tun Dr.Ismail setiap dua tahun sekali.

Sebagai mengenang jasa beliau, namanya terpahat di Kolej Tun Dr Ismail, UPM, Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, UTHM, Batu Pahat Johor dan Taman Tun Dr Ismail di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, Universiti Malaya menganugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang kepada beliau pada tahun 1964.

Rujukan:

  • Pena Tokoh Blogspot

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

+ 72 = 76