Tun Fatimah Hashim, Wanita Pertama Dilantik Menteri

Tun Fatimah Binti Hashim adalah merupakan Menteri Kabinet Wanita Pertama dalam Jemaah Menteri Tunku Abdul Rahman yang memegang portfolio Menteri Kebajikan dari tahun 1969 hingga tahun 1973.

Beliau memegang kepimpinan Kaum Ibu UMNO (kini dikenali sebagai Wanita UMNO) selama 16 tahun sejak dari tahun 1956 hingga tahun 1972. Beliau menyertai UMNO sejak tahun 1947 ketika berusia awal 20 an sebagai ahli UMNO yang ke 315 dan beliau dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu yang keempat menggantikan Khatijah Sidek.

Suami beliau iaitu Tan Sri Abdul Kadir Yusuf adalah merupakan bekas Ketua Peguam Negara yang kemudiannya juga dilantik sebagai Menteri Undang-Undang, menjadikan mereka sebagai satu-satunya pasangan Menteri Kabinet dalam sejarah politik negara. Beliau mendapat galakan dan sokongan penuh daripada suaminya dalam kerjaya yang dicuburinya.

Tun Fatimah Binti Hashim dilahirkan pada tarikh 25 Disember 1924 di Parit Keroma, Muar, Johor. Tun Fatimah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma dan kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Perempuan, Mersing dan menyandang jawatan sebagai guru pada usia 16 tahun

fatimah 1

Beliau mula mengorak langkah dalam dunia politik dengan manjadi ahli jawatankuasa Pergerakan Kaum Ibu UMNO Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru pada tahun 1948 dan pada masa yang sama menjadi Penolong Setiausaha Pergerakan Kaum Ibu Johor Bahru.

Selepas itu, beliau mengikut suami beliau berpindah ke Kota Tinggi dan dilantik menjadi Naib Pergerusi Kaum Ibu Kota Tinggi. Walaupun memperjuangkan politik, namum profesion perguruan tetap tebal dalam jiwa beliau apabila Tun Fatimah masih berkesempatan membuka kelas dewasa untuk membasmi masalah buta huruf di kalangan penduduk luar bandar di Kota Tinggi. Kemudian, beliau dilantik pula menjadi Setiausaha Kaum Ibu UMNO Johor pada tahun 1951 dan 1953.

fatimah 2

Kegiatan politik beliau terhenti buat sementara waktu apabila mengikut suaminya melanjutkan pelajaran ke England pada tahun 1954 dan sekembalinya ke Tanah Melayu pada 1955 suami beliau telah ditugaskan di Ipoh Perak.

Pergerakan UMNO pusat telah meminta jasa baik beliau menubuhkan cawangan Pergerakan Kaum Ibu di Ipoh Perak dan beliau secara automatik dipilih mengetuai Kaum Ibu Bahagian Ipoh dan Dalam Mesyuarat Agung UMNO yang diadakan pada April 1956 beliau telah diberi tanggungjawab yang lebih mencabar iaitu mengetuai UMNO Negeri Perak.

Tan Sri Abdul Kadir dipindahkan pula ke Negeri Kedah pada tahun 1958 dan Tun Fatimah dipilih oleh pucuk pimpinan untuk bertanding untuk keusi Parlimen Jitra / Padang Terap dalam Pilihan Raya Umum 1959 merupakan satu aliran baru politik negara yang menjadi ikutan parti-parti lain selepas itu.

fatimah 3

Semasa menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau gigih memperjuangkan hak wanita supaya tidak didiskriminasi dalam pembayaran gaji dan pencen, mendapat perlindungan sewajarnya serta memastikan kebajikan wanita tidak diabaikan setelah berlaku perceraian.

Berbekalkan semangat kental dan keinginan untuk melihat negara maju sebagai sebuah Negara berdaulat mengikut acuannya sendiri, tiada sebarang imbuhan yang diharapkan daripada setiap sumbangan dan pengorbanan yang dihulurkan.

Beliau telah dianugerahkan bintang Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri, menjadikan beliau penerima wanita pertama anugerah tersebut di negara ini.Beliau menerima gelaran Tun setelah dianugerahkan Pingat Seri Setia Mahkota pada tahun 2003.

fatimah 4

Beliau telah terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Kemasyarakatan pada tahun 2009. Beliau meninggal dunia akibat sakit tua pada 10 Januari 2010 pada usia 84 tahun dan telah disemadikan sebagai seorang srikandi negara di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

26 + = 27