Upacara Pelancaran RISDA Selepas Sebulan Ditubuhkan

Pada tarikh 8 Februari 1973, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau lebih dikenali sebagai RISDA telah dilancarkan secara rasminya.

Upacara pelancaran RISDA ini telah dijalankan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke 2 pada waktu itu iaitu Tun Abdul Razak di Dewan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

Dalam ucapan Tun Abdul Razak sewaktu berucap dalam upacara pelancaran RISDA, Tun Abdul Razak ada menegaskan bahawa kerajaan memberi jaminan akan berusaha sepenuhnya membawa corak kehidupan yang baru kepada pekebun-pekebun kecil getah dengan menambahkan pendapatan serta menaik taraf ekonomi mereka.

Usaha ini selaras dengan pembentukan RISDA iaitu untuk menjayakan kemajuan dan perkembangan perusahaan getah bagi pekebun-pekebun kecil yang memerlukan pemimpin serta galakan untuk mengatasi masalah-masalah yang mereka hadapi.

Upacara Pelancaran RISDA Selepas Sebulan Ditubuhkan

Antara tugas-tugas dan matlamat RISDA yang telah ditetapkan pada waktu itu adalah seperti maklumat yang tertera di bawah:

  • Menambah pengeluaran dan pendapatan melalui program-program tanam semula, pembekalan benih serta lain-lain input pertanian, rancangan kredit, subsidi dan melalui pengalaman teknologi baru.
  • Meluaskan punca pendapatan pekebun kecil di mana mereka digalakkan untuk menceburkan diri dalam kegiatan industri-industri pertanian dan bukan pertanian.
  • Memproses dan memasarkan hasil-hasil pekebun kecil ke peringkat antarabangsa.
  • Melaksanakan program tenaga pekebun kecil atau pembangunan sosial melalui berbagai projek untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi sektor pekebun kecil berbanding dengan sektor-sektor lain.

Apabila tertubuhnya RISDA pada 1 Januari 1973, maka segala tugas yang dijalankan oleh Lembaga Perusahaan Getah Tanam Semula telah diambil alih dan diteruskan oleh RISDA.

Oleh itu, sosio ekonomi masyarakat pekebun kecil mula bertambah maju dan tenaga mereka yang tidak teratur sebelumnya telah digembelingkan melalui koperasi-koperasi pekebun kecil.

Ini dapat dibuktikan dengan penanaman semula kebun getah seluas 1,321,723½ ekar yang telah dijalankan secara keseluruhan dalam negara pada akhir tahun 1974.

Di dalam usaha menjalankan tugas untuk memajukan sektor pekebun kecil, RISDA telah berhubung rapat dengan agensi-agensi lain terutama sekali badan-badan yang bertugas dalam bidang penyelidikan, perkembangan, kredit, memproses dan pemasaran.

Ini dilakukan supaya segala kegiatan berkaitan dengan pekebun kecil akan berjalan dengan lebih berkesan. Dengan pelancaran RISDA pada tarikh 8 Februari 1973 ini, ia diharapkan dapat meninggikan taraf ekonomi pekebun kecil dan memberi kehidupan yang sempurna kepada mereka.

Di samping itu, ia juga dapat menghasilkan penglibatan serta peranan pekebun kecil dengan lebih berkesan dalam arus pembangunan negara.

Rujukan:

  • Utusan Malaysia, 9.2.1973, hal. 9
  • Berita Harian, 9.2.1973, hal. 5
  • RISDA Dua Tahun, hal. 9
  • Panduan Dasar dan Tugas-Tugas RISDA 1974, hal. 48

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi sejarah.my

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

39 + = 41